Rezeki

Rezeki adalah satu perkataan melayu yang berasal daripada Bahasa Arab iaitu rizq, iaitu yang bermaksud apa sahaja bantuan Allah yang diberikan kepada makhlukNya termasuklah manusia yang meminta bantuan daripada-Nya.

Sudah menjadi ketetapan setiap manusia telah dikurniakan rezeki masing-masing oleh Allah sejak daripada azali lagi. Rezeki ibarat nyawa kepada kehidupan manusia di muka bumi ini, yang mana menjadi satu keperluan kepada setiap makhluk dalam meneruskan kehidupannya. Walaubagaimanapun skop rezeki adalah tidak terhad kepada makanan, material dan duit sahaja, ianya mempunyai skop yang lebih besar serta merangkumi  semua aspek dalam kehidupan manusia. Sebagai contoh manusia tidak hanya memerlukan makan dan minum sahaja tetapi manusia juga memerlukan kesihatan yang baik, ketenangan jiwa, mental yang sihat dan sebagainya. Semua ini adalah skop rezeki  yang tidak ternilai dikurniakan oleh Allah semata-mata.

Boleh dikatakan setiap saat manusia pasti akan menerima rezeki daripada Allah iaitui apabila menyedut udara yang bersih. Ini menunjukan bahawa setiap masa manusia memerlukan rezeki Allah untuk meneruskan kehidupan. Sesungguhnya kurniaan Allah amatlah besar, dan sesunggunhnya Allah Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

 Maksud rezeki di dalam Islam

Seperti yang telah diperkatakan, rezeki di dalam Islam bukan hanya terhad kepada wang dan harta. Jangkauan rezeki yang disebut oleh Allah ta’ala dan Rasulullah terlalu amat luas meliputi rezeki yang rencam.  Hakikatnya orang yang ‘memberi’ dan menyumbang akan memperolehi pulangan dari Allah dalam bentuk yang amat pelbagai, juga mencakupi material dan spiritual.

Namun sebelum itu, perlu difahami, sebagaimana rezeki yang tidak boleh dikecilkan skopnya hanya kepada harta, begitu juga ‘pemberian’ dan ‘sumbangan’ yang juga tidak terhad kepada wang dan harta. Ia sangat nyata sebagaimana petikan hadis Nabi Muhammad. Bahawa mengajak orang kepada kebaikan dan melarangnya dari kemungkaran adalah sebuah pemberian berharga, membantu mereka  yang melakukan kerja yang baik itu pemberian, dan menahan diri dari melakukan maksiat itu sendiri merupakan sebuah pemberian amat bermakna.

Apa yang jelas, semua jenis ‘pemberian’ dan ‘sumbangan’ itu adalah amalan kebajikan apabila ia menepati dua syarat yang paling minima iaitu :

1)    Ikhlas kerana Allah

2)    Ia berupa sumbangan ke arah kebaikan berdasarkan penilaian hukum Islam.

Justeru, apa sahaja yang disumbangkan, sama ada idea, ilmu, teguran, nasihat, tenaga untuk kerja, masa, perasaan, emosi dan sebagainya untuk membawa kebaikan untuk Islam, ia adalah sumber terbukanya rezeki di sisi Islam. Ia juga merupakan sumber kewujudan unsur ‘berkat’ di dalam kehidupan dan harta.

Posted in Uncategorized | 1 Comment